KUALA LUMPUR – Akibat takut dan cemas menyebabkan dua lelaki positif dadah enggan berhenti di sekatan jalan raya (SJR) dan memecut laju kenderaan di Jalan Parlimen, dekat sini semalam.
Bagaimanapun kedua-dua lelaki berumur 25 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Alza berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 pagi ketika suspek enggan memberhentikan kenderaan ketika melalui Jalan Parlimen sebaik diminta anggota polis yang bertugas.
“Suspek bagaimanapun membuat pusingan U tidak jauh dari pintu masuk Parlimen dan memecut laju menuju Jalan Mahameru.
“Menyedari perbuatan itu, polis yang sedang menjalankan Ops Parlimen segera mengejar kenderaan dinaiki suspek dan berjaya menahannya tidak jauh dari lokasi SJR,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah dan cemas selepas terserempak dengan SJR polis.
“Semakan mendapati suspek memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif metaphetamine dan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929