TOKYO – Atlet lawan pedang Argentina, Maria Belen Perez Maurice dilamar jurulatihnya selepas mengalami kekalahan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara tersebut semalam.
Perez Maurice dilamar jurulatihnya yang juga teman lelakinya, Lucas Guillermo Saucedo setelah 17 tahun bersama secara langsung sejurus tewas di peringkat 32 kepada Anna Marton dari Hungary.
Atlet berusia 36 tahun itu sedang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen Argentina dan Saucedo muncul di belakang atlet itu sambil memegang nota ‘Sudikah anda berkahwin dengan saya?’
Perez Maurice berkata, dia kemudian berpaling arah belakang badannya setelah disuruh wartawan itu dan terkejut sambil mengucapkan setuju kepada Saucedo.
“Mereka (wartawan) menyuruh saya menoleh ke belakang, dan dia memegang nota itu. Saya terkejut dan lupa semuanya.
“Kami sangat gembira. Kami merupakan pasangan serasi. Sudah pasti kami bertengkar tetapi kami saling memerlukan dan menyayangi antara satu sama lain.
“Kami juga ingin menghabiskan hidup kami bersama dan akan meraikannya di Buenos Aires,” katanya.
Tambah Perez Maurice, mereka pernah mengadakan perbincangan untuk berkahwin sebelum ini tetapi tidak menyangka akan menerima lamaran seperti itu.
Dalam pada itu, pasangannya, Saucedo menyatakan dia sudah terfikir berkenaan cadangan itu malam sebelum dia melamar.
Jelasnya, dia terdetik untuk melamar Perez Maurice sebagai motivasi kepada atlet itu yang tewas perlawanan itu, namun berbekalkan helaian kertas yang dicetak dari oleh seorang sukarelawan, walaupun tanpa cincin dia terus melakukannya.
“Saya amat mencintainya dan ketika kalah dalam pertandingan, dia sangat sedih. Jadi, mungkin cara ini boleh menaikkan kembali semangatnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pasangan tersebut bertemu di dalam sukan lawan pedang dan Saucedo pernah mewakili Argentina sebelum menjadi jurulatih.
Saucedo pertama kali melamar Perez Maurice pada tahun 2010 tetapi atlet itu menolaknya kerana menganggap dia terlalu muda untuk menerimanya pada masa itu. – AGENSI