PETINJU Maghribi, Youness Baalla melakukan percubaan menggigit telinga lawannya ,David Nyika dari New Zealand sewaktu pusingan ketiga kelas heavyweight Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Ryogoku Kokugikan hari ini.
Biarpun insiden itu gagal dikesan pengadil tetapi kemenangan masih menjadi milik Nyika dengan keputusan 5-0 sekali gus mara ke peringkat suku akhir untuk bertemu petinju Belarus, Uladzislau Smiahlikau.
“Dia tidak berjaya menggigit kerana memakai pelindung mulut dan ketika itu saya juga sedikit berpeluh.
“Saya tidak ingat apa yang saya katakan kepadannya tetapi saya ada kenyitkan mata sedikit kepada dia.
“Saya pernah digigit sekali di bahagian dada sewaktu bertarung di Sukan Komanwel Gold Coast 2018. Tolonglah, ini adalah Sukan Olimpik,” kata Nyika.
Tindakan itu mengembalikan kenangan 24 tahun lalu menyaksikan legenda tinju dunia, Mike Tyson yang menggigit telinga Evander Holyfield sebanyak dua kali dalam perebutan Kejuaraan Heavyweight Dunia di Las Vegas pada 1997.
Disebabkan itu, Tyson bukan sahaja dibatalkan penyertaan, malah menyaksikan jaguh Amerika Syarikat itu digantung lesen tinju selama 15 bulan. – AGENSI