KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik berhubung dakwaan penganiayaan pelarian di pusat tahanan Imigresen.
Bagaimanapun Heidy Quah Gaik Li, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris dihadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan, Heidy Quah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Heidy Quah’.
Hantaran itu dibuat pukul 5.30 pagi pada 5 Jun 2020 yang kemudian dibaca pada 10 Jun 2020 pukul 3.30 petang di Pejabat Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguam New Sin Yew yang mewakili Heidy Quah memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang aktivis dan tiada risiko melarikan diri.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan OKS diijat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 6 September ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pada Julai tahun lalu, media melaporkan Heidy Quah yang juga pengasas Refuge for the Refugees dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung hantaran di Facebooknya berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929