TIADA seorang atlet mahu pulang dengan kegagalan, namun itu yang akan dilalui setiap atlet apabila kerja keras masih belum membuahkan hasil pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Situasi itu dialami ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang akur mengalirkan air mata apabila usaha kerasnya pada Olimpik sudah berakhir.
Gimnas berusia 27 tahun itu terlepas peluang beraksi dalam acara all-around akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-68 daripada 85 peserta.
Pada aksi itu, Farah Ann tidak lekang dengan senyuman dan tampil ceria dengan leotard berwarna jingga dan mengutip keseluruhan 48.565 mata selepas melengkapkan empat rutin wajib.
“Saya buat sedikit kesilapan tapi saya telah cuba lakukan terbaik yang saya boleh buat. Saya gembira mengakhiri saingan ini.
“Saya memang mahu cuba yang terbaik, walaupun ada jatuh dan pendaratan tidak berapa baik, namun ia adalah satu cabaran kepada saya.
“Saya sangat bersyukur dapat bersaing di sini dan saya berpuas hati. Saya telah berikan segalanya yang boleh saya bagi. Saya berpuas hati dengan persembahan saya,” katanya yang mengalirkan air mata ketika ditemu bual sejurus berakhir persembahan.
Sebagai rekod, ini adalah penampilan pertama Farah Ann di pentas Olimpik selepas layak secara merit menerusi aksi cemerlang pada Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman Oktober 2019 sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun gimnas negara layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Dia menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket ke Olimpik selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.
Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.