fbpx

100,000 perniagaan tutup operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana di sebuah pusat beli-belah di ibu negara yang lengang setelah kerajaan tidak membenarkan kebanyakan perniagaan dalam sektor bukan perlu beroperasi. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lebih 100,000 perniagaan telah menghentikan operasi sejak tahun lepas sehingga sekarang, berdasarkan anggaran daripada Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman J.P. berkata, pada tahun 2020, lebih daripada 32,000 majikan telah gulung tikar dan lebih 107,000 orang diberhentikan kerja.

“Walaupun kes baharu Co­vid-19 makin meningkat, MEF berharap lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi untuk mengurangkan bebanan mental pekerja dan majikan dalam meneruskan perniagaan mereka.

“Negara tidak boleh terus menutup sektor ekonomi tidak perlu kerana langkah sedemikian akan menyebabkan banyak lagi majikan akan menutup operasi dan lebih ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika mengharapkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka, MEF bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan untuk membenarkan mereka yang telah mendapat dua dos ­vaksin diberikan lebih kebebasan bergerak.

Menurut Syed Hussain, kea­daan sekarang bukan masa terbaik untuk memberi lebih kebebasan kerana sebahagian besar penduduk masih belum divaksin, sebaliknya prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu dilaksanakan untuk mengawal pandemik daripada terus merebak.

“MEF menyokong lebih banyak saringan dilakukan untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti Covid 19, supaya langkah kuarantin dan rawatan sewajar­nya dapat diberikan sehinggalah negara dapat menurunkan kadar jangkitan baharu kepada sifar,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 1 Januari sehingga 16 Julai 2021, penutupan perniagaan merupakan faktor utama menyumbang kepada rakyat kehilangan pekerjaan.

Perniagaan ditutup mewakili 18 peratus daripada punca kehilangan pekerjaan, diikuti dengan pengecilan perniagaan (17 peratus) dan Skim Pemisahan Sukarela dengan Persetujuan Bersama (VSS/MSS) yang me­­­ n­yumbang 16 peratus.

Masalah kewangan pula menyumbang sembilan peratus, tamat kontrak (tujuh peratus), manakala lain-lain sebab mewakili 33 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI