PETALING JAYA – Mungkin ramai tidak tahu Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong, Kuala Lumpur pernah mengalami transformasi besar-besaran pada tahun 2014.
Transformasi itu bermula selepas pengurusan sisa pepejal di ibu kota diambil alih oleh anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) iaitu Alam Flora Enviromental Solutions Sdn. Bhd. (AFES).
Sebelum pengambilalihan itu berlaku, operasi stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin dilaporkan amat teruk.
Malah, dilaporkan bahawa mesin dan peralatannya pernah mengalami kerosakan penuh menyebabkan keseluruhan operasi stesen itu lumpuh.
Keadaan itu menyebabkan sampah yang dihantar oleh lori konsesi ke kawasan itu tidak dapat dipindahkan ke dalam kontena untuk dihantar ke tapak pelupusan.
Situasi tersebut menyebabkan air resapan sampah yang belum dirawat mengalir ke longkang dan mencemarkan sungai Jinjang.
Bagaimanapun, kesemua permasalahan tersebut berjaya diatasi sepenuhnya oleh AFES sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pengurusan Fasiliti Sisa Pepejal AFES, Mohd. Norazizi Zakaria berkata, transformasi stesen pemindahan sisa pepejal Taman Beringin melibatkan kos jutaan ringgit.
“Transformasi ini dilakukan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih lancar dan teratur sekali gus menjamin keselesaan hidup masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
“Sebab itu aduan yang diterima berhubung pengurusan sisa pepejal di ibu negara sudah amat berkurangan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Mohd. Norazizi berkata, transformasi itu termasuk menaik taraf loji rawatan air sampah dengan membina pra-rawatan (rawatan kimia) baharu pada kos mencecah jutaan ringgit.
Selain itu, kata beliau, AFES turut memasang sistem pintu automatik untuk mengawal tekanan negatif dan pengurusan bau bersepadu serta pelepasan udara.
Tambah beliau, pihaknya memasang sistem penyemburan untuk kawalan bau serta menambah baik sistem saliran air yang melibatkan kos yang agak tinggi.
“Semua jalan masuk dan jalan-jalan di stesen diturap selain menyediakan pusat 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula,” katanya.
Jelas beliau, transformasi seterusnya adalah membina tempat melepaskan air sampah dan tempat cucian tayar yang baharu serta membaik pulih mesin pemampat dan kenderaan.
Kata beliau, Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin terletak berhampiran dengan sungai, maka air leacate dirawat sehingga jernih sebelum dilepaskan ke sungai.
Ujar beliau, proses pengurusan air sampah dilakukan secara sistematik dan mematuhi undang-undang kerajaan Malaysia.
Beliau menerangkan, AFES akan menghantar laporan kepada Jabatan Alam Sekitar setiap tiga bulan untuk memastikan tiada masalah yang timbul dari parameter stesen berkenaan.
“Pencegahan bau dan lalat dilakukan secara kawalan biologi tanpa menggunakan bahan kimia berbahaya.
“AFES menjalankan penyelenggaraan berkala, malah mendapatkan pensijilan ISO 9001, 14001 dan 45001,” katanya.
Dalam pada itu katanya, AFES turut memasang sistem untuk mengawal bau dan memastikan setiap pelepasan dibuang melalui saluran yang betul.
Tambah beliau, syarikat itu juga melakukan ujian sistem kualiti udara, kualiti air tanah dan sampel air sungai pada setiap bulan.
“Semua kemudahan di stesen ini dilengkapi dengan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA),” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan keseluruhan operasi kini lebih sistematik dan tidak melibatkan banyak proses.
Katanya, konsep dan sistem diguna pakai di stesen itu juga boleh menampung jumlah kemasukan sisa pepejal untuk keseluruhan Kuala Lumpur.
Bagi melancarkan proses ini, penyelenggaraan berkala yang dilakukan mengikut ketetapan jadual yang ditentukan.
Ia ekoran proses yang terlibat selepas transformasi tidak memerlukan jentera yang banyak sama ada di stesen pemindahan mahupun di pusat pelupusan.
“Selepas melalui proses pemampatan sisa ke dalam kontena, sisa boleh terus dilupuskan di tapak pelupusan tanpa mengambil masa terlalu lama.
Corong yang digunakan juga ketika ini mampu menampung kapasiti 240 tan sisa untuk satu-satu masa.
Pengurusan sisa di negara ini seharusnya lebih terarah kepada rawatan sisa di mana pembinaan fasiliti pusat pemulihan atau Material Recovery Facility (MRF) perlu diperbanyakkan bagi memproses bahan buangan kitar semula yang diasingkan dan dijadikan sebagai bahan yang bernilai.
Sudah tiba masanya Malaysia ikut jejak negara-negara maju seperti Eropah, Korea dan Jepun.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Pengurusan Alam Sekitar Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes berkata, kira-kira 10 tahun lalu, negara cuma menghasilkan kira-kira 19,000 tan sampah sehari.
“Sekarang dianggarkan 38,000 tan sehari. Jumlahnya akan terus meningkat terutama di kawasan urban. Sebagai contoh bandar satelit bertambah bermakna penduduk pun meningkat.
“Sistem pengurusan sisa memang jauh lebih baik dan teratur sekarang ini. Pihak operator tidak lagi buang hasil kutipan secara sesuka hati,” katanya.