fbpx

Tiga dalang sindiket pinjaman tidak wujud diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, tangkapan adalah susulan kepada satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 17 Julai lalu yang membabitkan kerugian sebanyak RM34,959.

“Mereka yang ditahan berusia 30 hingga 36 tahun dan pihak polis turut merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, router, modem dan buku nota yang disyaki digunakan bagi tujuan penipuan.

“Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak Januari lalu dan kerap berpindah lokasi serta menukar operator atau pekerja untuk mengelak dikesan pihak berkuasa malah siasatan yang dilakukan mendapati tiga suspek yang ditahan itu baru sebulan bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan kemudahan pinjaman wang menerusi iklan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan WeChat.

“Mangsa yang ingin meminjam akan diminta membuat pelbagai bayaran terlebih dahulu seperti wang deposit, bayaran insurans serta yuran pemprosesan ke dalam akaun bank dipercayai akaun keldai dan mangsa menyedari telah ditipu apabila tidak mendapat wang pinjaman dan sindiket gagal dihubungi.

“Menerusi tangkapan ini kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 21 kes penipuan yang sedang disiasat oleh JSJK termasuk di beberapa kontinjen lain yang didalangi sindiket sama,” ujar beliau.

Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank terlebih dahulu di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan sebarang transaksi. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI