MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sudah bersedia untuk melepaskan khidmat penyerangnya, Anthony Martial selepas sah mendapatkan Jadon Sancho.
Pemain dari Perancis itu tiba di United pada 2015 dari Monaco dengan nilai £58 juta (RM337.03 juta) tetapi gagal untuk menepati jangkaan tinggi yang diletakkan kepadanya.
Martial gagal mempamerkan aksi yang diharapkan ketika era Jose Mourinho tetapi sebaik Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus, dia terus diberikan peluang untuk mempamerkan kebolehan.
Bagaimanapun, Solskjaer dilaporkan sudah hilang sabar apabila Martial terus gagal menggalas tugas sebagai penyerang utama pasukan itu.
Musim lalu menyaksikan dia hanya berjaya meledak tujuh gol dan lebih malang tidak lagi menjadi pilihan utama dalam kesebelasan United selepas kehadiran Edinson Cavani.
Martial masih memiliki kontrak sehingga 2024 di Old Trafford tetapi Solskjaer dikatakan sudah bersedia untuk mendengar sebarang tawaran untuk memastikan dia meninggalkan Old Trafford.
United meletakkan tanda harga £50 juta (RM290.54 juta) untuk melepaskan Martial ketika Tottenham Hotspur dilaporkan menyatakan minat.
Bagaimanapun, masalah utamanya adalah gaji yang diterimanya di United £250,000 (RM1.45 juta) seminggu menyebabkan tidak banyak pasukan yang bersedia.
Difahamkan, Solskjaer mahu mengeluarkan Martial adalah untuk mendapatkan dana bagi memburu kelibat penggempur utama Borussia Dortmund, Erling Haaland selain ia membantu mengurangkan beban bayaran gaji kelab itu. – AGENSI