KLANG – Tempoh lanjutan seminggu diminta bagi proses pemindahan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas yang mendapat bantahan penduduk di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, tempoh itu diminta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bagi meninjau dewan baru di Pelabuhan Klang esok sebelum pemindahan dilakukan mereka.
Mohd. Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis berkata, berdasarkan surat yang diterima daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bertarikh 23 Julai lalu memaklumkan pesakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2 tidak perlu hadir ke CAC kerana mereka mempunyai kelengkapan penilaian diri di rumah.
“Saya ada mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri meminta bantuan terhadap perkembangan terkini keadaan itu (CAC Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas)
“Pihak PKD juga sudah memberi respon meminta tempoh seminggu untuk mencari lokasi baru bagi proses saringan CAC itu. Esok, mereka akan melihat dewan baru di Pelabuhan Klang dan sebelum melaksanakan proses pemindahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas di sini mendapat bantahan daripada 1,500 penduduk setempat.
PKD Klang kemudiannya memaklumkan bersetuju untuk menyemak semula dan cadangan memindahkan ke lokasi lain bagi CAC berkenaan dalam tempoh dua minggu bermula 12 Julai lalu.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati terdapat kain rentang bantahan penduduk di pasang pada laluan keluar masuk ke pusat CAC berkenaan.
Rata-rata penduduk mendakwa mereka mula trauma sekiranya dijangkiti wabak Covid-19 selain bimbang pendapatan peniaga terjejas akibat kehadiran pesakit Covid-19 di kawasan terbabit. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929