fbpx

‘Passport disekat, mungkin muflis’ – Aznil digesa bayar cukai waktu pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZNIL meluahkan rasa marah terhadap sistem pentadbiran negara ketika ini, terutama dalam soal bayaran cukai dan denda.

PETALING JAYA – Bukan atas dasar kiasan marahkan nyamuk, kelambu dibakar, pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi melahirkan rasa terkilan dan kecewa terhadap agensi kerajaan terutamanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertindak menggesa dirinya membayar cukai biarpun struktur ekonominya kini tenat disebabkan pandemik Covid-19.

Aznil, 59, memaklumkan adalah tidak wajar agensi berkenaan memaksa orang ramai termasuk dirinya membayar cukai sedangkan rakyat sudah terputus punca kewangan hampir dua tahun disebabkan pandemik dan berkurung memasuki tempoh dua bulan.

“Kes positif harian pun dah mencecah 17,000 dan dah nak masuk dua bulan kita semua berkurung. Berapa lama lagi nak hidup begini dan bagaimana dengan status ekonomi kita. Dan, bagaimana pula dengan nasib ibu bapa kita?

“Saya sendiri, semua projek terpaksa dibatalkan dan LHDN ada hati hantar surat menyuruh saya bayar cukai tertangguh. Saya memang tiada masalah dengan hal pembayaran cukai sebelum ini dan mampu bayar tapi dengan Covid nak masuk dua tahun, tentu ekonomi saya terjejas dan tak mampu nak bayar seperti biasa,” kata Aznil yang sudah berkecimpung dalam bidang pengacaraan lebih 26 tahun.

Getus Aznil, seperti orang lain, dia tidak terkecuali dan terkesan dari segi pendapatan dan mengharapkan pertimbangan daripada kerajaan, terutama agensi yang dimaksudkan.

“Kalau betul kerajaan prihatin, di mana pertimbangan untuk kita semua? Kalau sebelum Covid-19, bolehlah kita bayar, sekarang dengan semuanya terbatas, bagaimana mahu bayar?

“Sekarang kita fikir macam mana nak hidup hari esok dan hari-hari berikutnya sahaja. Tidakkah berasa malu meminta rakyat bayar cukai pada waktu terdesak seperti sekarang ini,” katanya.

Tambah pengacara yang cukup sinonim dengan program realiti Akademi Fantasia itu, dia kecewa apabila surat yang sampai kepadanya seperti mengugut sekiranya gagal melangsaikan tunggakan cukai.

“Dalam keadaan sekarang ramai orang mati sebab Covid-19, hilang keluarga dan pekerjaan, LHDN himpit dan ugut nak sekat passport atau perjalanan keluar negara, kemungkinan disenaraihitam dan diisyitiharkan muflis.

“Saya nak tanya, adakah kisah kisah tentang semua itu pada waktu terdesak sekarang? Siapa kisah nak keluar negara sekarang, tiada siapa. Dalam keadaan sekarang orang fikir nak hidup sahaja dan berdepan hari esok,” jelasnya.

Kata Aznil, beliau tidak kisah seandainya surat ‘terbang’ kepadanya dan membincangkan tentang penstrukturan semula pembayaran tunggakan cukai berbanding terus menggesa rakyat membuat bayaran tanpa memikirkan keterbatasan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI