fbpx

Mengapa masih ada yang culas ikut SOP?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga kes berkenaan langgar SOP yang memanaskan keadaan minggu lalu.
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Tidak mahu pakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan fizikal dan marah apabila ditegur atau diingatkan. Itulah sikap segelintir rakyat kita yang tetap menegakkan benang basah sekalipun telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Tambah mengujakan, keberanian mereka ini tidak kepada orang awam yang menegur, malah turut sanggup mempertahankan kesalahan di hadapan pihak berkuasa yang menguatkuasakan SOP tersebut.

Untuk rekod, tiga kes ingkar SOP dilaporkan dalam ming­gu lalu antaranya memaki peniaga nasi lemak selepas ditegur tidak memakai pelitup muka, berdebat dengan polis di stesen minyak dan satu keluarga ‘berge­lang pink’ pergi ke farmasi untuk membeli ubat.

Sudah hampir dua tahun kita hidup dengan SOP, namun mengapa masih ada yang berdegil untuk mematuhinya walaupun angka jangkitan Covid-19 terus melonjak setiap hari.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, tindakan mengingkar SOP ini adalah suatu perbuatan mencabar yang tidak seharusnya diberi muka kerana boleh membahayakan orang lain.

“SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah untuk kebaikan bersama dan kita sebagai orang awam perlu memainkan peranan dan bukan menambah masalah.

“Pada pandangan saya, individu seperti ini lebih kepada mencabar pihak berkuasa untuk melihat apa yang boleh dilakukan kepada mereka sekiranya tidak mematuhi SOP. Jalan terakhir adalah kenakan kompaun atau dakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Jelas Shahul Hamid, ada kemungkinan juga golongan ingkar SOP ini sudah kebosanan selepas sekian lama memakai pelitup muka contohnya.

“Jadi mereka mula melawan kerana rindukan kebebasan se­perti dahulu. Namun masih satu perbuatan yang salah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebolehnya tidak mahu menyusahkan rakyat dari segi kompaun terutamanya dalam keadaan yang mencabar sekarang ini.

“Pihak polis sedia memberikan ‘amaran mesra’ atau menggunakan budi bicara, bagaimanapun kami tidak boleh berkompromi jika golongan ing­kar SOP ini mengambil mudah dan terang terangan dilihat mencabar undang-undang sedia ada.

“Pemberian kompaun merupakan cara terakhir dalam usaha memberi pengajaran kepada masyarakat untuk mematuhi SOP dalam usaha melawan pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Tambahnya, orang ramai diseru agar tidak mengambil mudah perkara ini dan menjadikan SOP sebagai cara hidup serta norma baharu ketika ini.

“Kejadian di gerai nasi lemak dan stesen minyak itu dilihat seperti mencabar dan membuat provokasi ke atas undang-undang sedia ada dan kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan seperti itu.

“Sekiranya masih ada pihak yang dilihat secara sengaja tidak mematuhi SOP, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Jumlah keseluruhan kes Co­vid-19 di Malaysia telah melebihi angka 1 juta dengan rekod terbaharu dicatat semalam iaitu sebanyak 17,045 kes.

Ini bukanlah angka yang kecil dan tidak mustahil jumlah itu akan bertambah sekiranya masih terdapat golongan yang ingkar dan dengan sengaja tidak mahu mematuhi SOP serta arahan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI