JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan lanjutan Perintah Pembatasan Kegiatan masyarakat (PPKM) darurat negara itu sehingga 2 Ogos akan datang, lapor Suara.com, semalam.
PPKM Tahap 4 yang sepatutnya berakhir pada kelmarin akan disambung bermula hari ini dengan beberapa kelonggaran diberikan.
Antara aktiviti yang diberi pelepasan pada Tahap 4 adalah mengizinkan aktiviti makan di kedai dengan syarat ketat.
“Pengunjung boleh menikmati hidangan di kedai namun dalam tempoh masa terhad iaitu selama 20 minit sahaja.
“Pasar barangan harian pula dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang,” kata Jokowi dalam kenyataan medianya.
Selain itu, bengkel dan tempat cuci kereta, kedai gunting rambut dan dobi layan diri juga diberi kelonggaran beroperasi sehingga pukul 9 malam.
Dalam pada itu, rata-rata rakyat mempersoalkan had masa makan di kedai dalam tempoh 20 minit yang dianggap terlalu singkat.
“Kalau makan tergesa-gesa kerana mahu menepati masa 20 minit, nanti ada yang mati tercekik pula.
“Tuan Presiden diharap boleh pertimbangkan had masa yang lebih panjang dengan protokol kesihatan lebih ketat,” komen seorang pengguna media sosial. – Agensi