EL PASO, Texas – Seorang lelaki di Amerika Syarikat dituduh menyebabkan kebakaran yang mengorbankan abangnya serta menyebabkan tubuh ibunya melecur teruk kerana mereka tidak mengikut ajaran kitab Injil, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Philip Mills, 40, didakwa melakukan pembunuhan melibatkan kebakaran pada Khamis lalu yang mengorbankan Paul Mills, 54 di kediaman keluarga itu di El Paso.
Polis berkata, suspek memaklumkan dia melakukan perbuatan kejam itu dengan menaungkan petrol pada sofa ruang tamu untuk mencetuskan kebakaran.
Menurut afidavit, selepas membakar kediaman itu, Philip menunggu di luar rumah bersama batu besar pada tangannya sekiranya ada ahli keluarganya berjaya keluar daripada kebakaran itu hidup-hidup.
Ibunya, Annette Mills, 82, berjaya keluar daripada kediaman tersebut dan dimasukkan ke hospital akibat keadaannya yang kritikal.
Polis menyoal siasat Philip berkenaan kejadian itu, namun lelaki itu hanya ketawa.
“Defendan ketawa dan memberitahu polis bahawa dia terkejut ibunya tidak mati dan menggelar usahanya itu sebagai satu kegagalan,” demikian menurut dokumen mahkamah.
Suspek didakwa memberitahu penyiasat bahawa dia membakar kediaman itu kerana kedua-dua ibu dan abangnya tidak mengikuti ajaran Bible. -Agensi