KUALA LANGAT – Kegiatan penduduk daerah ini menceroboh Hutan Simpan Kuala Langat Selatan bagi melakukan penanaman haram kelapa sawit dimusnahkan dalam Ops Langat oleh pihak berkuasa, hari ini.
Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Polis Diraja Malaysia itu bermula pukul 10 pagi melibatkan keluasan 11 hektar keseluruhannya bagi tanaman berusia dua hingga lima tahun.
Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) JPNS, Norddin Noor berkata, arahan penguatkuasaan itu diberikan kerajaan negeri untuk kompartmen 17 dan 19 di hutan tersebut bagi mengelakkan kemusnahan hutan yang merupakan kawasan sumber air di negeri ini.
Katanya, Hutan Simpan Kuala Langat seluas 6,400 hektar itu merupakan satu-satunya hutan paya gambut yang terdapat di negeri ini.
“Aktiviti penanaman sawit ini antara punca kebakaran terbuka berlaku di sini sehingga menyebabkan kerajaan negeri rugi mencecah RM2 juta dalam setahun bermula 2019.
“Tahun ini sahaja, hampir RM600,000 kerugian dicatatkan. Operasi ini melibatkan lebih 50 anggota selain penggunaan tiga jengkaut dalam tempoh empat hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Op Langat itu.
Berdasarkan rekod, seluas 2.8 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan musnah akibat pembakaran terbuka dilakukan petani haram pada 27 Jun lalu.
Siasatan mendapati penceroboh memasuki hutan simpan melalui laluan tikus dengan menggunakan motosikal pada waktu maghrib dan sekitar pukul 5 hingga 6 pagi.
Kosmo! difahamkan lot-lot tanah di hutan itu telah dilelong sindiket tertentu bagi mengaut keuntungan walaupun aktiviti tersebut langsung tidak dibenarkan. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929