fbpx

Kisah cucuk angin dan si kaki disko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kes picagari kosong ketika vaksinasi telah ditangani oleh pihak berwajib baru-baru ini.

BANYAK kejutan yang berlaku sejak kebelakangan ini. Dari lonjakan angka kes positif Covid-19 yang tidak pernah kita bayangkan kepada ‘perang ego’ melibatkan individu bergelar ustaz, aktivis kemanusiaan dan pensohor media sosial.

Di kamar mahkamah, kisah pertuduhan ke atas ahli Yang Berhormat terus berlaku, manakala drama fitnah menfitnah sehingga membawa kepada laporan polis dan tuntutan saman menghiasi dunia seni tempatan.

Ironinya, semua kejutan itu berlaku serentak, seolah-olah bersaing untuk merebut perhatian jutaan rakyat Malaysia yang kini hidup dalam tekanan selepas dua bulan terkurung di dalam rumah.

Tidak ketinggalan adalah kisah suntikan angin. Pada ketika kerajaan berbangga dengan angka suntikan harian yang mencecah setengah juta sehari, timbul pula dakwaan yang kononnya ada individu telah menerima suntikan tanpa vaksin.

Ya, kejadian itu benar-benar berlaku dan disahkan sendiri oleh Menteri Penyelaras Vaksin, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Menurut Khairy, kes berlaku di pusat pemberian vaksin di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah yang mana melibatkan seorang jururawat.

Alasan yang diberi adalah disebabkan kecuaian, kesan daripada keletihan yang dialami jururawat berkenaan. Siasatan telah dibuat dan tindakan tatatertib juga sedang diambil oleh pihak kementerian.

Ekoran daripada insiden itu, maka Khairy dan kerajaan membuat satu ketetapan iaitu membenarkan orang ramai untuk membuat rakaman video sewaktu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Hakikatnya, tindakan pantas menteri berkaitan yang segera mengesahkan dan mengakui mengenai kejadian itu wajar mendapat pujian.

Di Kajang, Selangor, ada satu lagi kejutan yang telah berlaku pada minggu Aidiladha baru-baru ini.

Kisah berlaku di sebuah balai polis apabila seorang ketua balai bersama tiga anggota bawahannya dicekup semasa berparti liar bersama empat wanita awam.

Apa yang dilakukan anggota polis ini memang mengejutkan. Menari dan berkaraoke di sebuah bilik yang dijadikan seperti disko di dalam balai. Hidangan mereka adalah arak dan air ketum dengan seorang daripada anggota berkenaan turut positif dadah.

Natijahnya, kisah itu menjadi bahan perbualan rakyat di alam maya. Ramai yang mengkritik dan tidak kurang yang mempertikai. Yang lebih bijak akan menggunakan pendekatan berhemah dengan menganggap ia adalah masalah individu dan bukan masalah pasukan polis.

Apa pun, tabik kepada pasukan daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang terus konsisten dan tegas dalam membendung salah laku pegawai dan anggotanya.

Di akhirnya, kita kena akui bahawa tiada siapa pun boleh terlepas daripada melakukan kesilapan. Baik jururawat yang keletihan ketika melakukan suntikan ataupun ketua balai yang terleka ketika menari sakan.

Kepada Ahli Parlimen yang menghadiri Sidang Khas di Dewan Rakyat hari ini, ingatlah bahawa lebih 32 juta rakyat Malaysia di luar sana sedang menunggu sesuatu yang menggembirakan daripada kalian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI