DUBLIN, Ireland- Pemilik sebuah premis perniagaan yang ‘menyampah’ dengan pelanggan kerana membuat bayaran menggunakan wang kertas yang diselit pada bra membuat peraturan untuk tidak lagi menerima bayaran sedemikian, lapor laman berita Metro UK.
Memandangkan cuaca panas yang melanda Ireland, Michael Flynn yang merupakan pemilik kedai menjual tilam bernama Mattress Mick mahu menghentikan tabiat yang ‘dianggap kotor’ itu dengan meletakkan papan tanda di hadapan premisnya.
“Tiada bayaran wang yang diselit di celah bra. Oleh kerana cuaca panas yang melanda dan juga untuk keselamatan bersama, kami tidak akan menerima wang sedemikian. Maaf di atas kesulitan ini,” demikian kenyataan pada papan tanda itu.
Hantaran tersebut menjadi tular di Facebook, manakala tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen dengan ada menganggapnya sebagai lucu dan ada juga yang mengecamnya.
“Anda perlu meletakkan papan tanda sama di kedai anda,” tulis seorang netizen sambil menyiarkan nama rakannya pada ruangan komen di Facebook.
“Saya fikir ini bersifat seksis, bagaimana pula dengan lelaki yang menyimpan wang dalam seluar dalam mereka,” tulis seorang lagi netizen.
“Adakah anda fikir wang itu akan melompat dan menggigit anda pada bahagian leher?” tulis seorang lagi netizen. -Agensi