fbpx

Jangan pertikaikan rezeki saya – Nabil Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA HUDA

PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda menganggap tawaran yang diberikan kepadanya oleh pihak TV3 untuk mengendalikan program hiburan Melodi sebagai rezeki yang tidak sepatutnya ditolak dan dilepaskan begitu sahaja.

Pada masa sama, Nabila atau mesra disapa Abil berkata, pemilihannya sebagai pengacara menggantikan tempat Awal Ashaari dan Janna Nick tidak wajar dijadikan isu oleh sesetengah pihak atas rezeki yang diberikan kepadanya.

“Pemilihan saya oleh TV3 untuk mengendalikan program Melodi adalah rezeki daripada Tuhan dan tiada siapa berhak untuk mempersoalkannya. Lagi pun saya tidak mahu tolak rezeki yang saya dapat.

“Seperti yang semua tahu, pelakon seperti saya kehilangan banyak ‘job’ (tawaran) disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang. Jadi tiada sebab untuk saya menolak tawaran ini,” katanya.

Ujar anak kepada penyanyi legenda, Amy Search itu lagi, selain rezeki daripada Allah SWT, dia turut menganggap peluang menjadi pengacara program Melodi itu sebagai peluang yang tidak selakunya datang kepadanya.

“Ini merupakan tawaran pertama daripada stesen televisyen kepada saya untuk menjadi pengacara. Saya anggap ini merupakan tanggungjawab besar kerana jenama Melodi itu sendiri sudah cukup besar pengaruhnya,” ujar Abil.

Disoal tentang perasaannya sewaktu diberi tawaran mengendalikan program Melodi, Abil berkata dia terkejut dan tidak percaya dirinya menjadi pilihan produksi TV3 untuk diambil sebagai pengacara.

“Pada awalnya ketika saya menerima panggilan telefon daripada wakil Melodi saya ingatkan ia adalah satu ‘prank’ (gurauan).

“Semua orang tahu yang program Melodi ini adalah rancangan hiburan pertama di Malaysia dan saya sangat terkejut dengan tawaran yang berlaku begitu pantas pada bulan ini,” jelasnya.

Abil yang bakal mengendalikan program Melodi bermula 1 Ogos ini berkata, dia telah mengatur banyak perancangan memandangkan dia bakal mengendalikan program tersebut tanpa pasangan (seorang diri).

“Ini adalah keputusan yang besar dalam hidup saya apabila memilih untuk menjadi pengacara Melodi.

“Sejujurnya saya lebih selesa menjadi diri sendiri. Sebagai manusia kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Abil dalam pada itu berkata, dia akan berusaha untuk menggalas tugas tersebut dengan sebaik mungkin dan akan memperbaiki kelemahan yang ada supaya mampu mengendalikan program itu dengan baik. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI