JAKARTA – Kedai kecil, restoran tepi jalan dan sebilangan pusat beli-belah dibuka semula di Indonesia hari ini selepas pemerintah melonggarkan sekatan di sebalik amaran bahawa langkah tersebut akan mengundang gelombang baharu Covid-19.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan awal bulan ini akan dilanjutkan hingga 2 Ogos ini walaupun varian Delta yang sangat mudah berjangkit terus menular di negara kepulauan itu.
Indonesia kini mengatasi India dan Brazil untuk menjadi pusat pandemik global.Namun, sekatan terhadap banyak perniagaan kecil termasuk pasar tradisional dan warung dilonggarkan sekalipun di kawasan paling teruk dilanda wabak Covid-19.
“Pelanggan boleh kembali makan di premis kami. Saya harap Jakarta pulih dengan cepat kerana ini adalah tempat kami mencari nafkah,” kata seorang pemilik restoran makanan laut dikenali sebagai Syaifurrohman.
Pusat beli-belah dan masjid di kawasan kurang terjejas di Indonesia juga mendapat lampu hijau untuk membuka pintu kepada orang ramai tetapi pada waktu lebih singkat.
Pejabat-pejabat pula masih dalam perintah penutupan walaupun terdapat laporan mengenai majikan yang melanggar peraturan tersebut.
Berpuluh-puluh juta orang hidup ibarat kais pagi makan pagi di negara yang mempunyai sekitar 270 juta penduduk itu, menyebabkan perintah berkurung secara ketat adalah mustahil untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, pentadbiran Jokowi dikritik secara meluas berhubung cara ia menangani pandemik dan polisi yang mengutamakan ekonomi berbanding kesihatan rakyat.
Pengumuman pemerintah semalam dibuat beberapa hari selepas Indonesia menyaksikan jumlah kematian dalam tempoh 24 jam mencecah 1,566 orang dan ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia meminta Jakarta melaksanakan sekatan lebih ketat.
Indonesia merekodkan lebih 3.1 juta kes Covid-19 dan 83,000 kematian sejak pandemik bermula tetapi angka rasmi tersebut dipercayai jauh lebih kecil susulan ujian saringan dan kadar pengesanan kontak yang rendah. – AFP