OKYO – Yuto Horigome mencipta sejarah Sukan Olimpik apabila muncul pemenang pingat emas pertama sukan papan selaju iaitu acara yang baharu dipertandingkan untuk edisi Tokyo 2020 kali ini.
Bintang Jepun itu berjaya mendapat markah tertinggi dalam empat daripada lima tricks yang dilakukan sekali gus meraih keseluruhan 37.18 mata pada saingan yang berlangsung di Ariake Urban Sports Park semalam.
Pencapaian itu membolehkan Horigome, 22, ditabalkan sebagai juara pertama bagi kategori street lelaki, manakala atlet papan selaju Brazil, Kelvin Hoefler di tempat kedua dan Jagger Eaton dari Amerika Syarikat (AS) meraih gangsa.
Legenda sukan berkenaan, Tony Hawk menyifatkan kejayaan Horigome secara tidak langsung akan mempopularkan lagi permainan papan selaju di Jepun.
“Industri ini sedang berkembang di Jepun dalam tempoh lima hingga 10 tahun kebelakangan ini tetapi ia masih dikategorikan perlahan. Mungkin inilah saat yang akan menjadi titik kebangkitan sukan ini di Jepun,” katanya.
Pilihan utama dari AS, Nyjah Huston terpaksa akur menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta selepas gagal melakukan empat tricks pada final tersebut.
“Apa yang terjadi kepada Nyjah adalah disebabkan dia bukannya seorang yang gemar beraksi secara konservatif. Dia tidak mahu namanya tenggelam di bawah radar,” jelas Hawk. – AGENSi