PETALING JAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengambil alih tugas pengumuman harian berkenaan aktiviti penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti yang semua sedia maklum, Hishammuddin telah dilantik jawatan tersebut apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Sebagai Menteri Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan Covid-19.
“Sehubungan itu, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta SOP PKP akan diteruskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, beliau telah menjalankan tugas sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sejak 20 Mac tahun lalu iaitu selama setahun empat bulan enam hari.
Katanya, antara tanggungjawab dipikul adalah berkaitan mengeluarkan semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara.
“Setiap hari juga saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat.
“Ia bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP berkenaan Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929