KUALA LUMPUR – Peserta himpunan Hartal Doktor Kontrak memaklumkan bahawa mereka masih menantikan jawapan rasmi daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Perdana Menteri berhubung tawaran penyambungan kontrak yang diumumkan sebelum ini.
Jurucakap peserta himpunan yang dikenali sebagai Dr. Mohamad berkata, himpunan tersebut juga tidak berniat untuk melakukan demonstrasi atau penentangan sebaliknya hanya ingin menyeru agar tuntutan mereka mendapat perhatian.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengeluarkan kenyataan menawarkan lanjutan kontrak namun tiada sebarang perincian berhubung perkara itu daripada pihak KKM atau Perdana Menteri.
“Jadi, kami masih lagi menantukan jawapan rasmi daripada pihak kementerian dan oleh itu kami teruskan juga dengan himpunan pada hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HKL di sini hari ini.
Terdahulu, dianggarkan kira-kira 50 orang doktor kontrak berhimpun di tingkat enam kawasan parkir HKL sambil memegang plakad antaranya bertulis ‘Kami doktor kontrak’ dan ‘Specialist for the future’ kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut beliau, himpunan tersebut adalah bagi menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama memohon agar kerajaan memberikan mereka hak sama rata seperti pegawai perubatan berstatus tetap.
“Kami inginkan hak seperti peluang melanjutkan pelajaran dan diserap sebagai penjawat awam berstatus tetap.
“Kebanyakan mereka yang berhimpun pagi ini juga telah bertugas menjaga pesakit Covid-19 sejak tahun lalu sehingga kini dan lebih kurang 150 pegawai juga telah berhenti tahun ini kerana mulai penat dengan sistem serba ada,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan akan membuka kertas siasatan berhubung himpunan tersebut yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 21(a) Akta 342 dan Peraturan 17 Akta 342 kerana melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh dikenakan kompaun.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929