PETALING JAYA – Reda dan pasrah. Itu yang dilakukan oleh pelakon Fiza Halim selepas dihujani dengan pelbagai hinaan dan kecaman berhubung kontroversi dakwaan ‘kaki sondol’ dan pemusnah rumah tangga orang baru-baru ini.
Menurut Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Binti Abd. Halim, 40, dia enggan melayan segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya kerana menganggap semua itu sebagai ujian kecil dalam hidup.
“Semua yang berlaku sudah pun tertulis.Ada yang menghina, mengeji dan mencaci tetapi saya hanya mendiamkan diri.
“Biarlah, bagi saya ini ujian. Saya reda dan pasrah dengan semua ketentuan yang sudah tertulis pada lukisan hidup ini. Apapun, hidup perlu diteruskan,” tulisnya dalam satu entri Instagram.
Namun, perkara yang lebih duka ialah apabila dia tidak berpeluang untuk bertemu dengan anaknya bongsunya, Siti Alena Adra atau Baby Aleena, 3, disebabkan pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Luahnya, dia sama juga seperti manusia lain yang tidak suka dengan perpisahan terutama bersama zuriat sendiri.
“Hampir tiga bulan kami tidak berjumpa disebabkan PKP. Saya hanya hamba yang lemah, tiada seorang wanita mahupun seorang ibu inginkan perpisahan.
“Tidak mungkin seorang ibu sanggup berjauhan daripada anaknya. Sedih saya siapa yang tahu. Hari ini, Allah SWT makbulkan doa saya untuk bertemu dengan nyawa saya ini.
“Terima kasih Tuhan atas kegembiraan dan nikmat yang Kau hadirkan ini. Kesabaran yang cukup bermakna, jika kita jatuh kerana manusia, bangunlah kerana Allah,” katanya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, Fiza memberitahu hak penjagaan Baby Aleena masih belum diputuskan oleh pihak mahkamah disebabkan masih dalam tempoh PKP.
“Mahkamah belum putuskan lagi disebabkan PKP,” jawab Fiza kepada seorang pengikut Instagramnya.
Dalam hantaran sama, Fiza turut memuat naik beberapa keping foto bersama Baby Aleena.
Terdahulu, Kosmo! pada 11 Julai lalu melaporkan nama Fiza menjadi bualan dalam Twitter selepas seorang individu yang merupakan bekas adik iparnya mendakwa dia seorang ‘kaki sondol’ dan pemusnah rumah tangga orang.
Individu yang menggunakan nama Afrina Farzana itu mendakwa, Fiza menjadi orang ketiga yang memusnahkan rumah tangga abangnya dengan bekas isteri.
Untuk rekod, Fiza pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, namun disahkan bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.
Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013. Perkahwinan kedua juga tak dapat diselamatkan.
Manakala, perkahwinan ketiga yang dibina pada Disember 2016 bersama juruterbang, Aizat Al Jefri juga tidak berpanjangan apabila Fiza sendiri mengaku sudah bercerai pada Julai tahun lalu.
Hasil perkahwinan bersama Aizat, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Baby Aleena.- K! ONLINE