PETALING JAYA – Perbentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen hari ini telah diganggu oleh beberapa Ahli Parlimen dengan pencelahan yang tidak perlu.
Rata-rata orang ramai menyifatkan keadaan ini membuatkan taraf profesionaliti kesemua Ahli Parlimen serta kesucian Dewan Negara berada pada taraf yang paling teruk.
Terdapat juga suara Ahli Parlimen yang sengaja mengajak Ahli Parlimen lain untuk keluar makan durian ketika Perdana Menteri memberikan ucapannya pagi tadi.
“Kenapa Ahli Parlimen kita bersikap macam ini, walau tidak setuju sekali pun dengan kerajaan ketika ini bahas ikut peraturan. Rakyat semua melihat dan perhati,” ciap @ZAirul86.
“Aku dengar sempat lagi yang ajak makan durian dekat luar, tak ubah macam bersembang dekat luar. Yang Dipertua bercakap pun mereka tak hormat, Malaysia tolong la berubah,” jelas @ZquraJura.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan beliau tidak bersetuju dengan semua hujahan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen pembangkang pada sesi sidang khas hari ini.
Kenyataan Azhar itu disuarakan selepas beberapa Ahli Parlimen mencelah dan menganggunya ketika sedang memberi penjelasan mengenai perjalanan sidang khas.
“Kalau ahli Parlimen pandai peraturan dewan, kalau saya bercakap semua ahli Parlimen kena diam,” tegasnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929