PUTRAJAYA – Seramai 30 doktor kontrak dari Hospital Putrajaya berhimpun secara aman di pekarangan hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebagai tanda protes secara besar-besaran di seluruh negara berikutan tuntutan mereka tidak dipenuhi kerajaan.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kesemua mereka mula berkumpul kira-kira pukul 11.30 pagi dan dilihat memegang poster tertulis “Tetap bukan Kontrak” sebelum bergerak keluar hospital dan berjalan kira-kira 500 meter sebagai tanda bantahan.
Difahamkan kesemua doktor yang menyertai bantahan aman itu terdiri dari unit ortopedik, unit perubatan dan unit kesihatan awam.
Salah seorang doktor yang mewakili rakan sejawat lain dan enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakan mengharapkan tuntutan antara lain jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu dapat dipenuhi kerajaan.
“Usaha kami ini juga disokong doktor yang berpengalaman, selepas ini kami akan bekerja seperti biasa dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada pesakit,” jelasnya.
Terdahulu gerakan Hartal Doktor Kontrak hari ini merancang untuk keluar beramai-ramai daripada fasiliti kesihatan masing-masing, tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi sebagai tanda bantahan kerana tuntutan mereka untuk diserap ke jawatan tetap tidak dipenuhi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929