KUALA LANGAT – Sebuah kenderaan jenis Toyota Aplhard milik seorang pengurus syarikat yang dicuri ditemui dibakar dalam kejadian di hadapan tapak kuari di Bandar Saujana Putra di sini semalam.
Kejadian itu terbongkar pukul 12 tengah hari selepas kebakaran itu disedari pekerja kuari.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, pihak pengurusan kuari yang telah membuat pemeriksaan terhadap kereta itu tidak menemui sebarang mencurigakan dalam kenderaan tersebut sebelum membuat laporan polis.
Katanya, pihaknya yang melakukan semakan terhadap nombor casis mendapati kenderaan itu didaftar atas seorang wanita berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat dan tinggal di Damansara, Petaling Jaya.
“Polis kemudiannya menghubungi pemilik kereta dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa kereta yang diletakkan di ruang bawah tanah parkir sebuah kondominium tempatnya tinggal telah hilang.
“Kali terakhir mangsa melihat kenderaan pukul 7.30 malam pada Sabtu lalu di tempat meletakkan kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menambah, berdasarkan siasatan awal dipercayai kenderaan itu dibakar kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Jelas Ahmad Ridhwan, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A1 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis memberitahu, seramai empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 7.15 pagi.
“Kebakaran itu telah memusnahkan 100 peratus kendeeraan itu dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikesan,” katanya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929