fbpx

Tiga termasuk pengasuh didakwa dera dua kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fazelina (gambar kiri) dan suaminya, Mansor serta anak saudara mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mendera dua kanak-kanak bulan lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh bersama suami serta anak saudara perempuannya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mendera dua beradik berusia tiga serta dua tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Fazelina Mohd. Lias, 37, Mansor Saat, 57, dan anak saudaranya yang berusia 13 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama menjaga dua beradik itu masing-masing berusia tiga dan dua tahun dituduh menganiayai dua kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 10 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga hendaklah menambah hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh serta syarat ditetapkan mahkamah selain melaksanakan khidmat masyarakat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Qaiyyum kemudian menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 terhadap Fazelina dan suaminya manakala remaja perempuan itu dijamin sebanyak RM5,000.

Timbalan Pendakwa Raya juga memohon syarat tambahan supaya ketiga-tiga tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, Fazelina membuat rayuan kepada mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan ekoran dia tidak bekerja dan merupakan suri rumah.

Mansor turut membuat rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana pendapatan sebulannya sebagai pemandu lori sebanyak RM1,600 sahaja selain menanggung seorang anak.

Sementara itu, remaja berusia 13 tahun itu hanya terkedu membisu apabila diminta mahkamah membuat rayuannya.

Mahkamah kemudian memerintahkan pengasuh berkenaan dan suaminya dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala ibu bapa remaja itu diperintahkan membayar jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos depan untuk penyerahan dokumen termasuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI