PETALING JAYA – Selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata kedua pada 19 April lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berazam untuk menurunkan lagi 10 kilogram (kg) berat badannya untuk mencapai berat badan ideal.
Ujar Siti, ketika mengandung anak keduanya, Muhammad Afwa, berat badannya mencecah sehingga 92kg. Namun dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20kg selepas bersalin.
“Ketika hamilkan Muhammad Afwa, berat badan saya mencecah sehingga 92kg. Alhamdulillah, saya kemudiannya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20kg selepas itu.
“Kini saya mensasarkan untuk turunkan lagi 10kg berat badan untuk mencapai berat ideal iaitu 60kg,” katanya ketika menjayakan sidang media virtual, BeauRaya semalam.
Ujar pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu lagi, dia mengakui berat badannya sukar untuk turun berbanding wanita lain selepas selesai berpantang.
“Sesetengah wanita senang sahaja untuk menurunkan berat badan selepas bersalin. Tapi tidak bagi saya kerana agak sukar untuk turunkan berat badan,” jelasnya.
Dalam pada itu, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K berkata, sejak menimang cahaya mata kedua, dia kini lebih tertumpu dengan Afwa.
“Sebelum ini memang saya manjakan dan lebihkan tumpuan pada Aafiyah. Tapi sekarang saya fokus dan lebihkan kepada dengan Afwa pula.
“Alhamdulillah Aafiyah okay sahaja dan dia pun sangat sayangkan adiknya. Setiap pagi selepas bangun dia akan mencari adiknya untuk dicium. Saya sangat bersyukur dengan kehadiran dua cahaya ini melengkapkan lagi kehidupan keluarga saya,” katanya.
Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada 2006. Pasangan itu dikurniakan puteri sulung, Siti Aafiyah juga hasil proses IVF selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga. Siti sebelum ini pernah keguguran pada November 2015. – K! ONLINE