COPENHAGEN – Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Eropah (ECDC) melaporkan masih terdapat ratusan juta individu layak di seluruh benua itu belum divaksinasi, lapor agensi berita Xinhua, semalam.
Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Eropah,Hans Kluge, memberi amaran baki yang belum divaksinasi mempunyai risiko tinggi untuk berakhir di hospital akibat simptom Covid-19 yang teruk.
“Meskipun program imunisasi di Eropah sudah melebihi 50 peratus namun baki yang belum divaksin masih berpotensi menjadi penyebar varian Delta yang mudah merebak.
“Jadi, apabila kerajaan meminta agar rakyat mengambil vaksin, sila lakukannya dengan segera,” gesa Kluge.
Menurut ringkasan mingguan terbaru dari ECDC, kadar jangkitan yang direkodkan Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) adalah 89.6 peratus kes bagi setiap 100,000 penduduk untuk minggu yang berakhir pada 11 Julai.
Menjelang Ogos, ECDC menjangkakan 90 peratus kadar jangkitan baharu akan disebabkan oleh varian Delta yang pertama kali ditemui di India.
Menurut Pakar Imunologi dari Kolej Imperial London, Daniel Altmann, keberkesanan vaksin ke atas varian baharu seperti Delta, Alpha dan Beta terbatas jika seseorang itu hanya menerima satu dos vaksin sahaja.
Varian Delta juga telah terbukti mampu disebarkan dengan pantas dalam kalangan mereka yang berusia di bawah 30 tahun.
“Varian Delta mengubah strategi pemulihan kebanyakan negara kerana ia menyebabkan jangkitan ke atas mereka yang mempunyai tindak balas antibodi lemah dan golongan muda,”kata Altmann.
Tambah Altmann, mereka yang sudah divaksin penuh masih memiliki perlindungan lengkap daripada varian sedia ada termasuk varian Delta.
Ia bermakna mereka cenderung untuk tidak dijangkiti dan jika dijangkiti, gejalanya tidak serius dan atau mungkin tidak bergejala.
Penganalisis khusus bagi data koronavirus, Francesco Luchetta, kebanyakan negara akan mengelak mengambil tindakan drastik melaksanakan perintah berkurung seperti di awal pandemik.
“Kadar jangkitan keseluruhan mungkin akan lebih tinggi berbanding awal pandemik kerana kemunculan pelbagai varian baharu.
“Namun dengan kemajuan vaksin dan rawatan yang dikembangkan, kita akan dapat menyaksikan lebih kurang pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi atau kes kematian,” jelasnya. – Agensi