TOKYO – Jelitawan olahraga Jerman, Alica Schmidt rimas dengan gelaran atlet wanita paling seksi di dunia yang secara tidak langsung menjadikan dia sebagai tumpuan utama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Schmidt diberikan gelaran tersebut oleh sebuah majalah Australia pada 2017 dan menyaksikan jumlah pengikutnya di laman sosial terutama Instagram meningkat mendadak daripada 208,000 pengikut pada 2018 kepada 1.9 juta ketika ini.
“Ada ribuan wanita lagi di Instagram lebih cantik daripada saya tetapi tidak mempunyai pengikut yang ramai.
“Saya tidak tahu mengapa saya mendapat gelaran ini. Sukan adalah keutamaan saya. Hargai kejayaan orang lain daripada cemburu dengan apa yang mereka kecapi,” katanya.
Sebaliknya, atlet berusia 22 tahun itu lebih berminat memberikan fokus kepada acaranya, 4×400 meter (m) lari berganti-ganti campuran bersama kuartet Jerman di Stadium Olimpik, Jepun bermula 30 Julai ini.
“Tokyo sedang memanggil kerana saya akan bertanding di Olimpik. Saya masih tidak percaya dan pada masa sama bersyukur untuk merasai pengalaman yang saya impikan sejak kecil,” jelas Schmidt yang dilahirkan di bandar Worms, Jerman.
Schmidt pernah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat bola sepak dunia selepas dijemput sebagai jurulatih kecergasan gergasi Jerman, Borussia Dortmund tahun lalu.
Sebagai rekod, model kepada jenama terkemuka dunia, Puma itu pernah meraih pingat perak bersama kuartet 4x400m Jerman pada Kejohanan Olahraga Eropah Bawah 20 Tahun (B20) 2017 dan gangsa Kejohanan Olahraga Eropah B23 2019. – AGENSI