KOTA BHARU – Kelantan merekodkan satu kes positif Covid-19 melibatkan varian Delta yang dijangkiti oleh seorang wanita di Pasir Puteh kelmarin.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, jangkitan itu merupakan kes berulang selepas wanita berkenaan pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
“Kes ini merupakan jangkitan sporadik. Jadi saya nasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak keluar dari rumah tanpa keperluan.
“Ini kerana, kadar jangkitan varian Delta yang mudah dan cepat merebak memberikan satu kebimbangkan kepada pihak kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Izani memberitahu, berdasarkan kajian, varian Delta yang sudah mengalami mutasi disifatkan cukup bahaya apabila ia boleh menyebabkan risiko kematian yang tinggi.
Terdahulu, Kelantan mencatatkan sebanyak 502 kes dengan tiga kluster baharu dan 92 kluster aktif semalam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929