IPOH – Sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 akan diberi pada 42,363 masyarakat Orang Asli di Perak menjelang akhir tahun ini bagi memastikan komuniti tersebut dilindungi.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak yakin sasaran boleh dicapai berikutan sambutan baik komuniti itu.
Pengarah Jakoa Perak dan Kedah, Harulnizam Abd. Rahman berkata, program jangkauan komuniti atau ‘outreach’ yang diadakan juga memberikan hasil positif.
Katanya, ramai Orang Asli pelbagai peringkat usia tampil secara sukarela untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Seramai 42,363 Orang Asli berusia 18 tahun ke atas di Perak layak menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 3,518 orang telah divaksin dengan 1,337 lengkap dua dos suntikan.
“Kita yakin dengan sambutan baik menerusi program outreach, peratusan penerima vaksin akan meningkat sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Outreach Vaksinasi masyarakat Orang Asli negeri Perak di Dewan Komuniti Kampung Chadak dekat Ulu Kinta di sini hari ini.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asli kini tidak lagi takut untuk disuntik berbeza pada peringkat awal, sebaliknya lebih yakin setelah menyedari kepentingan vaksinasi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929