PETALING JAYA – Teka-teki siapakah bakal pengganti Awal Ashaari dan Janna Nick sebagai hos Melodi akhirnya terjawab selepas susuk pelakon terkenal, Nabila Huda muncul dalam rancangan siaran langsung program televisyen sensasi tersebut hari ini.
Dalam program hiburan yang berlangsung selama satu jam itu, Awal, 39, dan Janna, 26, secara rasmi mengumumkan pengunduran mereka, sekali gus memperkenalkan pengacara terbaharu iaitu Nabila yang akan memulakan tugasnya bermula minggu depan iaitu pada 2 Ogos.
Menurut pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi, 36, atau mesra disapa sebagai Abil, dia mengakui terkejut ketika menerima tawaran untuk bergelar pengacara Melodi.
“Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak. Saya sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan sehingga kini, saya rasa masih bermimpi bagi menyambung legasi program hiburan yang sensasi, penuh kontroversi nombor satu di Malaysia.
“Perasaan itu mungkin kerana sebelum ini saya selalu masuk Melodi tetapi sekarang perlu mengacarakan rancangan ini pula,” katanya dalam Melodi hari ini.
Sementara itu, dalam sebuah entri Instagram, Nabila memohon agar semua pihak dapat mendoakan perjalanan baharunya itu sebagai pengacara Melodi.
Dia juga tidak mahu menjanjikan bulan bintang namun akan memberi sedaya upayanya untuk membawa kelainan dalam pengacaraannya minggu depan.
“Saya perlukan sokongan anda semua sebab sejak hari pertama melangkah kaki dalam industri seni, andalah penyokong, pengkritik, pencita dan keluarga saya.
“Apa kelainan yang saya akan buat? Tidak banyak, hanya menjadi diri sendiri dan memasukkan bakat lakonan saya,” tuturnya.
Dalam pada itu, dia juga berharap agar peminat Melodi tidak meletakkan harapan tinggi kepadanya namun akan berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Sekiranya ada kekuragan, maafkan saya. Jangan terlalu mengharapkan saya lebih daripada ornag lain.
“Saya mungkin tidak akan jadi yang cemerlang tetapi akan beri yang terbaik untuk anda semua, Mari berseronok dengan pelayaran baharu ini,” tulisnya dalam Instagram.
Tambah pelakon filem Munafik dia turut mengagumi cara Awal dan Janna mengendalikan Melodi dan turut menjadikan pasangan pengacara itu sebagai idolanya.
“Secara jujur, saya kagum dengan Awal dan Janna yang telah menjalankan tugas anda dengan baik. Saya rasa kamu berdua ialah idola untuk saya jalankan tugas saya selepas ini,” katanya.
Sejak awal minggu ini, khabar angin mengenai pertukaran pengacara Melodi bertiup kencang dalam media sosial.
Malah, spekulasi tersebut semakin terjawab apabila Awal memuat naim sebuah hantaran Instagram memberitahu dia diberikan notis dua minggu untuk meninggalkan Melodi yang sudah dikendalikan selama lapan tahun. – K! ONLINE