GEORGE TOWN – Peningkatan kes harian Covid-19 yang melebihi 10,000 kes setiap hari selain terpaksa berkurung sejak setahun lalu menyebabkan rakyat di negara ini kini ‘diselubungi’ gejala ‘penat mental’ dan fizikal.
Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, pelbagai perkara di luar kebiasaan telah berlaku dalam kehidupan norma baharu termasuklah kehilangan pekerjaan.
Selain itu, katanya, rakyat turut dibebani dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu termasuk berdepan tekanan emosi akibat tidak dapat bertemu ahli keluarga sejak sekian lama.
Menurutnya, gejala ‘penat mental’ kini semakin dirasai oleh semua pihak terutama petugas barisan hadapan yang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang sudah lebih setahun melanda negara.
“Sehubungan itu, tiada jalan lain kecuali kebersamaan kita dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara. Rakyat mempunyai satu pilihan iaitu hadapi keadaan ini secara bersama dan menjadi ejen atau penyebar maklumat yang sahih kepada masyarakat dalam komuniti.
“Meskipun kes harian masih mencatatkan bilangan tertinggi, namun kita perlu memikul peranan masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, setiap individu perlu memainkan peranan menerusi bidang dan kepakaran masing-masing bagi mengimbangi Pelan Pemulihan Negara secara menyeluruh.
Katanya, ketika ini banyak pihak tampil memberi khidmat bantuan psikologi kepada rakyat yang terkesan dengan kesihatan mental menerusi pelbagai talian sokongan.
“Kita khuatir suatu hari nanti masalah mental tidak lagi terkawal dalam kalangan masyarakat tanpa ada satu mekanisme untuk dibendung,” tambahnya.
Antara senarai talian psikososial ialah Talian Kasih, KSK Care Centre melalui Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK), Malaysian Relief Agency dan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA).