RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas sebanyak 4.7 tan ayam sejuk beku dan 900 paket pelbagai makanan di dalam dua buah lori di Kampung Lubuk Setol di sini hari ini.
Rampasan pada pukul 3.30 pagi itu dilakukan selepas anggota PGA menemui dua buah lori yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah ladang.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, semasa melakukan rondaan rutin di kawasan itu pada pukul 2 pagi, anggota PGA melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dan bungkusan plastik ke dalam dua buah lori.
“Apabila menyedari kehadiran anggota PGA, mereka terus melarikan diri ke kawasan semak berhampiran manakala pemandu kedua-dua buah lori memecut laju meninggalkan lokasi tersebut namun dua buah lori itu berjaya dijejaki dalam tempoh kira-kira 1 jam 30 minit.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori-lori itu telah membawa kepada penemuan 2,358 paket ayam sejuk beku masing-masing seberat dua kilogram yang dianggarkan bernilai RM58,950,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, selain itu, pihaknya turut menemui 900 paket makanan sejuk beku bernilai RM27,000. – K! ONLINE