ARAGON – Pelumba berusia 14 tahun, Hugo Millan maut selepas terlibat dalam insiden ngeri pada perlumbaan European Talent Cup (ETC) di Litar Motorland Aragon sebentar tadi.
Pada baki 13 pusingan terakhir, Millan gagal mengawal jenteranya dan terjatuh sebelum di rempuh pelumba lain dari arah belakang yang gagal mengelak kemalangan tersebut.
Akibat kemalangan tragis tersebut, Millan diterbangkan terus ke Hospital Zaragoza untuk menerima rawatan lanjut, namun pelumba Cradle of Champions itu disahkan meninggal dunia.
“Kami sangat sedih untuk menyampaikan berita bahawa Hugo Millan telah meninggalkan kami.
“Kami akan selalu mengingati terutama senyuman dan jiwa besarnya dalam perlumbaan ini. Istirahatlah dengan tenang Millan.
“Anda akan sentiasa ada di hati kami dan kami akan mengingati anda tersenyum seperti biasa. Kami sayang kamu Millan,” kata pasukan tersebut dalam satu kenyataan.
Perlumbaan yang turut disertai pelumba negara, Hakim Danish terpaksa dihentikan serta-merta. -AGENSI