SEREMBAN – Pasar Besar Seremban diarahkan tutup selama tujuh hari selepas 64 peniaga dan pekerja pasar tersebut didapati positif Covid-19 hasil Ujian Kit Pantas Antigen (RTK Ag) yang dijalankan semalam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah yang positif tersebut hasil ujian saringan dijalankan bermula pukul 2 hingga 7 petang semalam yang membabitkan seramai 676 individu.
“Individu yang positif dipakaikan gelang merah jambu oleh para petugas dan diarahkan menjalani ujian RT-PCR yang mampu memberikan keputusan lebih tepat.
“Dalam pada itu, saya difahamkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban turut menjalankan pengesanan kontak rapat dan membuat ujian selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, susulan pengesanan kes positif berkenaan, Pasar Besar Seremban ditutup sementara selama tujuh hari bermula esok.
“Dicadangkan, peniaga-peniaga pasar dan restoran juga buat saringan Covid-19 berkala seperti di kilang-kilang prosedur operasi standard (SOP) perlu diketatkan dan dipantau oleh agensi penguatkuasa,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929