PASIR PUTEH – Polis menahan pasangan kekasih selepas mereka merempuh sekatan jalan raya (SJR) di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Gong Jering, Selising di sini kelmarin dengan menaiki sebuah motosikal.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, salah seorang anggota polis yang bertugas di SJR berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tengku Anis di sini sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati, suspek lelaki berusia 18 tahun membonceng kekasihnya yang berusia 17 tahun dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Katanya, apabila tiba di SJR Gong Jering, anggota polis mengarahkan penunggang motosikal itu agar berhenti untuk diperiksa dokomen perjalanan mereka sebelum masuk ke kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, suspek telah memecut motosikalnya melalui SJR itu, namun telah berpatah balik beberapa minit kemudian untuk keluar dari lokaliti PKPD berkenaan
“Tindakan tersebut menyebabkan motosikal yang dinaiki pasangan kekasih itu merempuh seorang anggota polis yang bertugas di SJR,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Shafien, anggota polis telah mengejar kedua-dua suspek sebelum berjaya menahan mereka di Jalan Selising menghala ke Kok Lanas.
Katanya, berdasarkan hasil siasatan, suspek mengaku masuk ke kawasan PKPD Gong Jering untuk ke Melor, Kota Bharu namun, tidak menemui laluan menuju ke kawasan itu. – K! ONLINE