TANAH MERAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil masa lebih lapan jam untuk memindahkan dua ekor gajah liar betina di Kampung Kuala Tiga hari ini yang dipercayai memusnahkan tanaman penduduk sejak beberapa hari lalu.
Kerja-kerja pemindahan gajah berusia lima tahun seberat satu tan dan 15 tahun (dua tan) itu turut dibantu oleh 36 anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, kedua-dua ekor gajah itu dipindahkan secara berperingkat bagi memastikan keadaan berjalan lancar selain untuk mengelakkan sebarang situasi cemas.
“Gajah berusia lima tahun dipindahkan bermula 10 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi pemindahan kedua kita pindahkan seekor lagi bermula tengah hari sehingga lewat petang.
“Gajah-gajah berkenaan berjaya ditangkap pada Jumaat lalu dengan menggunakan kaedah tembakan pelali yang memudahkan mereka dikawal sebelu dipindahkan hari ini.
“Kedua-dua gajah itu dijinakkan menggunakan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang dibawa dari PKGK,” katanya pada sidang akhbar selepas proses pemindahan di Kampung Kuala Tiga di sini hari ini.
Menurut Che Ku Mohd. Zamzuri, kedua-dua ekor gajah itu dipindahkan menggunakan laluan khas iaitu 1.5 kilometer bagi gajah pertama dan 1.1 kilometer untuk gajah kedua.
Katanya, gajah liar berkenaan dipercayai merupakan kumpulan yang datang dari kawasan berdekatan iaitu di hutan simpan Kampung Air Kerilla.
Ujarnya, memandangkan musim buah ketika ini, maka ia menarik minat kumpulan gajah itu masuk ke kawasan kampung berkenaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929