fbpx

Rupa-rupanya, Mawar Rashid sekeluarga kena Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWAR sekeluarga baru pulih daripada Covid-19 sejak dijangkiti awal Julai.

PETALING JAYA – Pasangan selebriti Mawar Rashid dan suaminya, Raf Yaakob tampil mendedahkan bahawa mereka sekeluarga baru sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram Mawar, kedua-dua pasangan suami itu berkongsi pengalaman mereka dijangkiti Covid-19 selama dua minggu, sekali gus menjawab teka-teki ‘kehilangan’ kedua-duanya dalam laman sosial.

Ujar Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 36, dia tampil membuat pendedahan tersebut selepas mendapat banyak pertanyaan daripada pengikutnya apabila tiba-tiba dia bersama isteri sepi dalam media sosial.

“Untuk makluman semua, sebenarya ada perkara tidak disangka terjadi pada kami sekeluarga sejak dua minggu lalu.

“Awal bulan lalu, saya tiba-tiba jatuh sakit sehingga tidak boleh bangun. Isteri saya, Mawar sangat risau sebab saya jarang sakit. Saya kemudiannya pergi melakukan ujian calitan Covid-19 dan ternyata keputusannya adalah positif,” ujar Raf.

Kata adik kepada penyanyi dan juga cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu lagi, selepas mengetahui dirinya dijangkiti Covid-19, dia telah menyuruh Mawar melakukan ujian calitan bersama anak-anak.

Pada hari yang sama juga, anak sulungnya, Raden Ahmad Rayyan (anak tiri Mawar), 10, turut disahkan positif.

“Selang empat hari kemudian, Mawar pula demam dan apabila menjalani ujian calitan untuk kali kedua, ternyata isteri juga positif.

“Lepas Mawar demam, anak ketiga saya, Raden Muhammad Rafael (anak sulung Raf dan Mawar) pula disahkan positif. Selang sehari, anak bongsu kami, Raden Seri Rosabella Cinta pula demam dan turut disahkan positif. Senang cerita satu keluarga dijangkiti Covid-10,” kata Raf.

Ujar pelakon drama TQ Captain itu, dia tidak tahu bagaimana dirinya sekeluarga boleh dijangkiti virus tersebut memandangkan Mawar dan anak-anaknya langsung tidak keluar rumah.

Bagaimanapun, Raf memberitahu, sesekali dia ada juga keluar ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan rumah.

“Kemungkinan besar saya dijangkiti ketika keluar memberi barang di pasar raya. Apa yang dengat, seminggu selepas saya disahkan positif, pasar raya tersebut telah ditutup sebab ada 15 orang pekerjanya positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashi, 26, berkata, pengalaman dia bersama keluarga mengharungi musibah dijangkiti Covid-19 selama dua minggu cukup membuatkan dia trauma dan berharap tidak berlaku lagi dalam keluarganya.

“Demam akibat Covid-19 bukan demam biasa. Terasa sangat sakit sehingga membuatkan saya rasa tertekan.

“Apa yang saya bimbangkan ialah anak-anak sampai saya tidak cukup rehat, tidur pun cuma dua jam sahaja kerana menjaga anak-anak,” kata Mawar.

Ujarnya lagi, walaupun dia terpaksa kuatkan semangat, namun akhirnya dirinya ‘tewas’ pada hari kelima selepas mengalami demam panas yang teruk.

“Saya demam tak berhenti dan berpanjangan .Saya cuma mampu berzikir sahaja setiap hari supaya sihat. Bila dijangkiti Covid-19, barulah kami tahu siapa yang benar-benar ambil berat tentang saya sekeluarga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Raf dan juga Mawar meminta masyarakat supaya menjaga diri sebaik mungkin kerana Covid-19 bukannya perkara palsu yang boleh dipandang remeh.

“Kamu semua tidak boleh jangka akan dijangkiti Covid-19. Virus ini ada di mana-mana sekarang. Walaupun kami sekeluarga telah disahkan bebas Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tapi kesannya masih dirasai sehingga sekarang,” kata Mawar yang masih mengalami sakit badan dan kepala serta batuk.

Terdahulu, selain Mawar sekeluarga, pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam turut ditimpa nasib sama apabila dia termasuk suami, enam orang anak serta tiga pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 8 Julai lalu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI