JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah merampas 112,350 unit pelitup muka yang bernilai RM60,669 dalam tiga serbuan berasingan di bandar raya ini, semalam.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, operasi yang dijalankan bermula pukul 2 petang itu dijalankan di sekitar Taman Sentosa dan Tebrau, di sini.
“Dalam operasi berkenaan, 10 pegawai dan anggota bersama wakil pemilik cap dagang iaitu Neutrovis membuat pemeriksaan ke atas tiga premis berbeza berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan.
“Menerusi serbuan itu, KPDNHEP merampas sejumlah 112,350 unit pelitup muka yang disyaki tiruan bernilai keseluruhan RM60,669.
“Kesemua premis itu disyaki menjadikan rumah sebagai tempat menjalankan aktiviti penyimpanan serta pengedaran stok bagi kesemua pelitup muka yang dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hairul Anuar turut memberitahu, tindakan berkeny diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan.
“Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda RM250,000 bagi syarikat manakala bagi individu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
“Sehubungan itu orang ramai khususnya peniaga diingatkan agar tidak menjalankan urusniaga dengan menggunakan perihal dagangan palsu atau barangan tiruan,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perbuatan salah laku boleh melaporkan kepada KPDNHEP melalui talian 03-80008000; 1800886800; 03-88826245 atau hantarkan WhatsApp ke talian 019-279 4317. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929