TOKYO – Jaguh lompat galah Amerika Syarikat (AS), Sam Kendricks tekad tidak akan memberi laluan mudah buat pemegang rekod dunia dari Sweden, Armand Duplantis dalam perebutan pingat emas temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo kali ini.
Sebagai rekod, Kendricks yang berusia 28 tahun telah menewaskan Duplantis pada Kejohanan Olahraga Dunia di Doha pada 2019 untuk meraih pingat emas selain berjaya mendapatkan pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Kata Kendricks, dirinya perlu berada pada tahap terbaik dalam memastikan harapan untuk meraih kilauan pingat dapat direalisasikan kerana sedar di atas kertas, prestasi Duplantis yang baru berusia 21 tahun lebih baik.
“Saya telah tewas dengannya pada pertemuan terakhir kami di Liga Berlian pada Mei lepas tetapi situasi di temasya Sukan Olimpik di Tokyo sudah tentu berbeza. Apa yang pasti, saya kini sudah cergas dan bebas daripada kecederaan.
“Lebih penting buat saya adalah untuk memberi tumpuan dengan prestasi diri sendiri sebelum memikirkan potensi pesaing terutama Duplantis yang kita tahu memang berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya memecahkan rekod dunia.
“Namun, saya juga yakin dengan tahap keupayaan saya dan kita akan saksikan siapa yang boleh meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik kerana peluang terbuka buat semua atlet yang bersaing di sini,” kata Kendricks.
Gelanggang olahraga pada temasya empat tahun sekali ini akan dibuka pada 30 Julai depan dengan semua acara berlangsung di venue utama, Stadium Olimpik, Tokyo. – AGENSI