PETALING JAYA – Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) merayu kerajaan menekankan elemen ketelusan dalam membuat pemilihan bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran sebelum penyerapan masuk ke perjawatan awam.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, proses pemulihan dengan perancangan rapi serta pelan strategi jangka panjang yang jelas perlu dilaksanakan bagi menambahbaik sistem kontrak yang semakin kronik.
“PADU menyambut baik keputusan kabinet berkaitan pegawai perubatan kontrak. Keputusan kerajaan baru-baru ini menunjukkan keprihatinan terhadap nasib doktor perubatan selaku barisan hadapan yang terpaksa bertempur sepanjang pandemik ini.
“Bagaimanapun, kami sedar, masalah lambakan pegawai perubatan merupakan satu masalah kronik yang diwarisi hasil kesilapan strategi perancangan pentadbiran terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru itu katanya, PADU meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak kerajaan agar benar-benar serius dalam merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.
“Kerajaan perlu berusaha dalam menambah bilangan Pos Jawatan Tetap Pegawai Perubatan UD43/44 mengikut bilangan realistik seiring dengan keperluan negara.
“Kejayaan kerajaan dalam menangani permasalahan ini adalah refleksi terhadap kesungguhan dalam pemulihan sistem kesihatan yang semakin tenat dengan situasi pandemik sekarang ini di samping mengekalkan keharmonian fraterniti perubatan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929