PERENANG wanita negara, Phee Jinq En berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) kuak dada pada saringan dua Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo sebentar tadi.
Jinq En, 23, menamatkan saingan di tempat kedua saringan dua dengan catatan masa satu minit 08.40 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 100m kuak dada, 1:08.50s yang dilakukannya pada Sukan SEA Manila 2019.
Tempat pertama saringan dua itu dimenangi perenang Slovakia, Andrea Podmanikova dengan catatan masa 1:08.36s.
Bagaimanapun, Jinq En gagal menempatkan diri dalam kelompok 16 catatan masa terbaik daripada enam peringkat saringan untuk mara ke separuh akhir esok.
Sementara itu, perenang lelaki negara, Welson Sim juga mengalami nasib sama apabila sekadar menempatkan diri pada tempat ke-36 daripada 39 peserta untuk acara 200m gaya bebas.
Ia selepas Welson sekadar mencatat masa 1:49.24s untuk menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta dalam saringan dua sebentar tadi. – K! ONLINE