SHAH ALAM – Isu tular melibatkan Hospital Serdang, baru-baru ini merupakan keadaan sementara Jabatan Kecemasan yang menunggu ketibaan beberapa peralatan kemudahan di hospital berkenaan.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, keadaan itu sudah diperbaiki apabila khemah yang dilengkapi kemudahan disiapkan pada 21 Julai lalu.
“Kerja menyiapkan khemah menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi kemudahan udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik telah siap termasuk tambahan 81 katil.
“Gambar tular mengenai Jabatan Kecemasan Hospital Serdang itu adalah keadaan sementara menunggu peralatan tiba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah meminta kerajaan mengesahkan keadaan sebenar di hospital berkenaan.
Ia susulan wujud dakwaan tular bahawa ada pesakit tidur atas lantai, selain ditempatkan dalam khemah yang panas dan tidak selesa.
Mengulas lanjut, jelas Sha’ari, setiap hospital di Selangor sudah mengoptimumkan penggunaan kemudahan seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.
“Penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara turut dilaksanakan di kebanyakan jabatan kecemasan hospital di negeri ini.
“Selain itu, pelaksanaan pemindahan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa bersiap siaga menghadapi lonjakan kapasiti pesakit Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan ke atas susulan peningkatan kes di negeri ini.
“Kita sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan terbaik kepada semua pesakit.
“Orang ramai diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebagai norma baharu,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929