fbpx

Felicia idam sertai skuad sang saka biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Felicia bercita-cita mahu menyertai pasukan keselamatan sejak dibangku sekolah.

MESKIPUN sibuk dengan kerjaya sebagai model sambilan dan pembantu jualan, namun jauh di sudut hati gadis ini te­lah lama bercita-cita untuk menyertai pasukan Sang Saka Biru.

Berasal dari Kampung Skibang, Bau, Sarawak, gadis bernama Felicia Anak Dorem yang berusia 21 tahun ini telah memasang niat itu sejak di bangku sekolah rendah bagi mencabar ke­upayaan dirinya.

Walaupun cita-citanya itumasih belum kesampaian, namun anak bongsu daripada lima beradik yang juga bekas pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan tetap berharap suatu hari nanti impiannya akan termakbul.

Sementara ‘menunggu’ cita-citanya itu tercapai, pemegang Diploma Pengurusan Maklumat itu kini aktif dalam bidang peragaan di samping kerjaya hakikinya sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat swasta di bandar Kuching.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama gadis ber­keturunan Bidayuh ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai­ dirinya.

Felicia bercita-cita mahu menyertai pasukan keselamatan sejak dibangku sekolah.

Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan ber­kaitan kerjaya Felicia se­karang?
Felicia: Saya sekarang be­kerja sebagai seorang pembantu jualan dan pada masa sama, saya juga seorang model peragaan untuk beberapa majlis serta produk.

Apakah kerjaya impian anda dan mengapa memilihnya?
Sebenarnya, saya mahu menjadi seorang pegawai polis. Saya mahu menguji ketahanan mental dan fizikal serta mencabar diri untuk menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi walaupun saya seorang wanita.

Adakah anda bersedia berdepan segala cabaran?
Saya sanggup berdepan pelbagai risiko sebagai pegawai polis. Bagi saya, kerjaya sebagai seorang polis mampu menjadikan diri lebih berani walau apa juga keadaan. Yang penting, jangan pendam rasa takut, selagi niat betul, cabar diri sendiri, teruskan dan capai selagi masih ada peluang.

Kenapa Felicia masih boleh ‘bertahan’ dengan kerjaya sekarang?
Secara jujurnya, kerjaya sekarang banyak mengubah penampilan saya, daripada seorang yang pendiam, kini sedikit demi sedikit menjadi seorang yang mudah bergaul dengan orang lain. Malah, ia juga mengajar saya untuk menguruskan perniagaan.

Apakah nasihat Felicia kepada mereka yang suka memi­lih kerjaya?
Jangan sesekali memilih pekerjaan, kita tidak tahu masa hadapan bagaimana. Walaupun tidak minat sekali pun dengan kerja itu, kita perlu cuba terlebih dahulu dan percaya, jika kita lakukannya setiap hari, mungkin akan ‘jatuh cinta’ kepadanya suatu hari nanti.

Bagaimana anda menguruskan kerjaya terutamanya ketika penularan Covid-19?
Sebagai seorang pembantu jualan, saya perlu mencari sale yang telah ditetapkan pihak syarikat, namun ia agak sukar kerana banyak kekangan ketika ini. Langkah yang kami buat adalah dengan mempromosi produk secara online.

Selain sibuk dengan kerjaya, apakah aktiviti masa lapang anda?
Saya minat dalam bidang nyanyian sejak berusia 10 tahun lagi. Pelbagai pertan­dingan yang telah saya sertai sejak dari bangku sekolah sehingga kini terma­suk berjaya meraih gelaran juara acara nyanyian pada majlis Miss Borneo Bau 2018.

Apakah nasihat anda kepada mereka yang suka ingkar prosedur operasi standard (SOP)?
Jangan sesuka langgar SOP, jika kerajaan terpaksa melakukan total lockdown sekali lagi ekoran peningkatan kes yang mendadak, bukan kita sahaja yang akan menanggung akibatnya, malah semua orang akan hidup susah.

Sebagai rakyat Malaysia, apakah nasihat Felicia kepada mereka yang menolak vaksin?
Saya sangat kecewa dengan segelintir sikap masyarakat sebegini kerana tidak semua orang di negara lain bernasib baik untuk divaksinasi. Paling menyedihkan terdapat sesete­ngah orang yang menyebarkan berita palsu ber­kenaan vaksin sehingga orang lain pula terpe­daya. Saya merayu jika anda mendapat peluang untuk divaksin, ambillah.

Apakah perancangan masa hadapan?
Jika diberi peluang melanjutkan pelajaran, saya mahu me­nyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan pada masa sama, saya akan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis.

Difahamkan Felicia me­nyambut Hari Gawai, boleh berkongsi sambutan perayaan itu pada tahun ini?
Tiada persiapan besar tahun ini akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lagipun kami sekeluarga tidak dapat berkumpul kerana masing-ma­sing tinggal jauh. Secara keseluruhannya, sambutan Gawai pada tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI