PETALING JAYA – Menyambut ulang tahun kelahiran keseorangan bukanlah satu perkara yang menggembirakan namun itu situasi yang dilalui oleh penyanyi rap dan aktivis sensasi Caprice hari ini.
Sejak 40 hari lalu, pemilik nama penuh Ariz Ramli, 33, dia mengakui telah menempuh satu kehidupannya sangat sukar.
Malah, dia juga memberitahu tidak pernah berasa sangat sunyi seperti yang dialaminya kini.
“Ini merupakan 40 yang paling sukar dalam hidup saya dan kali pertama saya beribadah serta berhijrah seorang diri di negara orang.
“Saya tidak pernah rasa keseorangan sebelum ini tetapi rasa sangat dekat dengan Allah SWT dalam tempoh lima hari ini,” ujarnya dalam satu perkongsian InstaStory hari ini.
Dia bagaimanapun tetap bersyukur dengan semua perkara yang berlaku dalam kehidupannya sejak akhir-akhir ini.
“Alhamdulillah untuk semua yang terlah berlaku. Insya-Allah semua yang berlaku pada hari ini akan masuk akal satu hari nanti kepada anda semua,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga aktif mengulang siar semua ucapan hari jadi serta doa-doa yang diterima daripada peminat dan penyokongnya.
“Terima kasih semua, insya-Allah saya sedang usaha untuk bangkit semula dan teruskan misi,” balasnya ringkas.
Sehingga kini, ramai yang masih tertanya-tanya lokasi sebenar Caprice, sama ada dia sudah memasuki sempadan Gaza atau masih berada di Kaherah, Mesir.
Minggu lalu, nama Caprice menjadi topik hangat dalam media sosial apabila dia mendedahkan tegurannya kepada Ustaz Ebit Lew (UEL) susulan rungutan yang didakwa diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan termasuk perkongsian yang dibuat di media sosial.
Malah, isu tersebut semakin merebak sehingga melibatkan individu lain iaitu Nadir Al-Nuri yang kini menetap di Gaza.
Namun, pada 22 Julai lalu, UEL telah tampil menjawab beberapa persoalan dalam satu siaran langung Instagramnya.
Dia yang berangkat ke Mesir untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza bulan lalu sepatutnya membuat pendedahan mengenai kisah di sebalik kontroversi itu pada 21 Julai, bagaimanapun dibatalkan selepas Ebit membuat laporan polis. – K! ONLINE