BEIJING – Seorang remaja berusia 14 tahun di China menjadi tajuk utama akhbar tempatan apabila membuat laporan polis bahawa dia dipaksa menjadi buruh kanak-kanak haram oleh bapanya dengan melakukan kerja-kerja rumah, lapor portal Oddity Central, kelmarin.
Kejadian tersebut berlu di Ma’anshan, wilayah Anhui apabila seorang bapa mengarahkan anaknya membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah selepas remaja itu terlalu asyik dengan telefon bimbitnya.
Berang dengan suruhan itu, remaja itu bertindak keluar dari rumah secara senyap-senyap dan pergi membuat laporan polis ke atas bapanya.
Pihak polis yang keliru dengan laporan yang dibuat, mengambil keputusan menemani remaja itu pulang dan mendapatkan penjelasan daripada ibu bapanya.
“Anak anda perlu belajar maksud disiplin diri, mungkin tindakan menyimpan telefon pintarnya adalah satu langkah terbaik buat masa ini,” kata polis.
Remaja itu hanya tertawa mendengar cadangan tersebut dan membalasnya dengan jawapan yang tidak disangka.
“Anda fikir saya cuma ada satu telefon pintar sahaja? Anda sangat naif,” ujarnya sambil tertawa.
Rata-rata netizen yang membaca berita itu mengecam sikap kurang ajar remaja itu dan menasihatkan agar ibu bapanya mengambil tindakan segera sebelum dia menjadi lebih teruk. – Agensi