PETALING JAYA – Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamat seorang wanita daripada terjun dari tingkat sembilan sebuah rumah di Tasik Residency Jalan Putra Prima, Puchong Prima Utama tengah hari tadi.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung tindakan wanita itu pada pukul 11.51 pagi sebelum mengerah lapan anggota berserta pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ke lokasi.
“Pihak bomba kemudian tiba di lokasi sekitar pukul 12.21 tengah hari dan mendapati majikannya telah berjaya memujuk wanita warga Indonesia terbabit.
“Difahamkan wanita berusia lingkungan 20-an itu baru bekerja dengan majikannya selama sebulan dan dikatakan rindu hendak pulang ke kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, majikan wanita tersebut difahamkan telah menegur sikap wanita itu dan memaklumkan telah banyak mengeluarkan modal sebelum mangsa menjadi tertekan dan mengugut mahu membunuh diri.
Norazam berkata, wanita terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929