fbpx

Adik bongsu Ryan Deedat meninggal dunia akibat barah otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RYAN (kiri) mengesahkan adik perempyuannya menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi Ryan Deedat berkongsi berita duka pemergian adik bongsunya, Sharifah Nur Intan Sheifeeka, 25, yang disahkan meninggal dunia akibat barah otak.

Ryan ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, adik kesayangannya itu telah meninggal dunia pada pukul 8.15 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur selepas sebulan terlantar di hospital.

“Adik saya meninggal dunia akibat barah otak. Dia merupakan adik bongsu daripada 11 orang adik-beradik.

“Adik saya baru sahaja dapat tahu dia menghidap barah otak tahap empat sekitar dua bulan lalu selepas sering mengadu sakit kepala. Tidak sangka semuanya berlaku dengan begitu cepat,” katanya.

Ujar Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, 29, lagi, sebelum ini keadaan adiknya baik-baik sahaja, cuma dia kerap mengadu sakit kepada sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan dia menghidap barah otak tahap empat.

Disoal tentang perasaan kehilangan adik yang disayangi, Ryan berkata dia sedikit terkilan kerana tidak berada di sisi adiknya ketika arwah sedang berjuang di hospital.

“Terkilan juga kerana tidak dapat menemaninya di hospital kerana keadaan semasa (pandemik Covid-19) sekarang serta prosedur operasi standar (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kata jururawat, adik kerap juga memanggil-manggil nama saya ketika berada di hospital,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Salimah itu juga runsing apabila memikirkan cara untuk memberitahu ibunya yang kini menghidap strok tentang pemergian adiknya.

Kata Ryan, dia bersama adik-beradiknya yang lain sedang mencari jalan untuk memberitahu ibunya perkara sebenar, namun bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada ibunya.

“Arwah boleh dikatakan anak kesayangan ibu. Dia banyak membantu saya menguruskan ibu di rumah kerana ibu menghidap strok dan bergantung dengan tiup untuk makan dan minum.

“Tapi sehingga sekarang ibu tidak tahu bahawa adik telah pergi buat selama-lamanya,” kata Ryan.

Ryan yang kini berada di HKL untuk proses menuntut jenazah adiknya memberitahu, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, hari ini selepas waktu Asar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN